Habib Abu Bakar Al-Attas(1) bin Abdullah bin Alwi bin Zain bin Abdullah
bin Zain bin ‘Alwi bin Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad bin ‘Alwi bin Abu
Bakar Al-Habshi di lahirkan di Hottah, Hadramaut
pada bulan Zulkaedah 1327H (1909M). Beliau adalah merupakan salah
seorang daripada guru kepada Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz
bin Abdullah bin Abu Bakar bin Aidrus bin Umar bin Aidrus bin Umar bin
Abu Bakar bin Aidrus bin al-Husain bin Syeikh Abu Bakar bin Salim,
pengasas Rubath Darul Musthofa di Tarim.
Guru-guru beliau
Semasa kecilnya ditarbiah oleh ayahandanya sendiri. Selepas
ayahandanya, Habib Abdullah wafat pada tahun 1342H, tugas tersebut
diambilalih oleh kekandanya Habib Hussin. Sebelum meningkat umur remaja,
Habib Abu Bakar telah menghafal dan mendalami sebahagian besar isi
al-Quran. Beliau menghadiri majlis-majlis ilmu, mendalami kitab-kitab
ilmu dan menceduk rahsia-rahsianya yang bagaikan lautan dari ramai
ulama. Diantara masyaikh beliau adalah:
• Habib Hussin bin Abdullah al-Habshy
• Habib Alwi bin ‘Abdullah al-Habshy
• Habib Alwi bin Abdullah Benshahab
• Habib Abdullah bin Idrus al-Idrus
• Habib Abdullah bin Umar asy-Syatrie
• Habib Abdul Bari bin Sheikh al-Idrus
• Habib Ahmad bin Abdurrahman as-Saggaf (as-Saqqaf)
• Habib Ahmad bin Mohsin al-Hedhar
• Habib Ali bin Abdurrahman al-Habshy
• Habib Muhammad bin ‘Ali al-Habshy
• Habib Muhammad bin Salim Asree
• Habib Muhammad bin Hadi as-Saggaf
• Habib Umar bin Muhammad BinSmeth
• Habib Hasan bin Muhammad Balfaqih
• Syeikh Mahfuz bin Utsman
• Syeikh Salim Said Bakayir
Apabila kekandanya wafat pada tahun 1369H, ia beruzlah. Beliau
menghampirkan diri kepada Ilahi dan tenggelam dengan zikrullah. Ia
menghabiskan sepenuh masanya dengan beribadah di dalam keadaan tenag dan
juga mengulangkaji kitab-kitab para ulama yang sholeh yang memberi
manfaat.
Disebabkan tekanan dari pemerintah Yaman (pada ketika
itu Yaman diperintah oleh komunis) beliau telah meninggalkan Hadramaut
dan akhirnya bermastautin di Mekah sehingga akhir hayatnya.
Rutin Harian Beliau
Habib Abu Bakar tidak pernah membuang masa. Masanya dibahagikan untuk
amal-amal ketaatan, beribadah, kerja-kerja kebajikan, memberi nasihat
dan petunjuk di dalam hal urusan orang Islam. Beliau selalu tenggelam
dalam zikrullah. Beliau berjaga malam dan terus beribadah sehingga waktu
syuruk. Selepas shalat ia memakan sarapan yang ringan dan tidur
sebentar.
Pada jam 10 pagi beliau shalat dhuha dan terus
berzikir sehingga waktu zohor. Beliau shalat sunat qabliah zohor
sebanyak 4 rakaat dan membaca surah Yasin disetiap rakaat. Selepas
shalat zohor dan ba’diahnya, beliau makan tengahari dan berehat.
Jam 4 petang ia terus beribadat. Selepas shalat sunat asar 4 rakaat dan
beristighfar 70 kali, beliau menunaikan shalat asar dan diikuti dengan
zikir, wirid dan mengadakan majlis roha sehingga maghrib Kemudian
diikuti dengan shalat fardhu maghrib, sunat ba’diah dan sunat awwabin
sehingga masuk waktu isyak.
Habib Abu Bakar membaca ratib
al-Haddad selepas selesai shalat isya’ dan ba’diahnya. Selepas makan
malam beliau tidur pada jam 10 malam dan bangun semula pada jam 2 pagi
untuk memulakan rutin ibadah hariannya.
Amalan beliau ini
mencerminkan sebenar-benar isi kandungan kitab tariqah Ba’alawi –
al-ilmu Nabras fi Tanbih ‘ala Manhaj al-Akyas oleh kerana beliau:
“….. mengikuti jejak salaf mereka yang berteraskan ilmu dan amal,
pembersihan hati dari pekerti buruk, ketaatan dan amal shalih dengan
niat yang bersih, berteman dengan orang baik, tidak bergaul dengan
orang-orang yang buruk kelakuan, tidak suka terkenal, menjauhi keramaian
dan keriuhan disertai mengaku kekurangan diri, berakhlak mulia,
bertekad tinggi, warak, zuhud, lemah-lembut, berhati-hati, meninggalkan
orang yang memusuhi mereka dan menumpukan perhatian pada hal-hal akhirat
….”
Penulisan
Al-Habib Abu Bakar menghasilkan enam buah risalah dan salah satu daripadanya bertajuk “al-Tazkir al-Mustaffa”
Wafat
Habib Abu Bakar Attas wafat pada 28 Rejab 1416H dan jenazahnya di
shalatkan di Masjidilharam dan diusung hingga ke perkuburan Ma’ala oleh
ribuan manusia yang berzikir dan bertahlil yang tidak pernah di lihat
ditanah haram.
Notakaki:
(1): Gelaran ‘al-Attas’
telah diberikan [kepadanya] oleh Habib Abdullah bin Alwi Al-Habshi.
Rupanya ada rahasia disebalik nama gelaran tersebut. Semasa pemerintahan
komunis di Hadramaut, hampir semua alim-ulama diburu dan diseksa dan
ada yang dibunuh oleh kerana mempertahankan yang hak Allah. Contohnya
ialah Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz Benshaikh Abu Bakar [ayahanda
kepada Habib Umar], mufti Hadramaut yang ditangkap oleh pihak tentera
selepas memberi khutbah dan shalat di Masjid Jame’ Tarim. [ketika
terjadinya peristiwa ini, Habib Umar yang ketika itu berusia 9 tahun ada
bersama ayahandanya] Ianya hilang ghaib begitu sahaja. Habib Abu Bakar
termasuk golongan di dalam ‘hit list’. Dengan izin Allah, ia mengetahui
rancangan kejam kerajaan dan sempat mengumpulkan kelurganya dan berlepas
ke Jeddah melalui pesawat di Aden. Kepungan oleh pihak tentera dibuat
merata-rata untuk mencari Habib Attas tetapi ia terselamat oleh kerana
di dalam paspotnya tercatat nama Abu Bakar sahaja.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar