KH. Abdul Rahman Ambon adalah cucu murid kepada Sheikh Ahmad Khathib As-Sambasi (gambar) dalam bidang tarekat Qadriyah.
  
 KH. Abdur Rahman Ambon Nama lengkap ialah Haji Abdur Rahman bin Haji Muhammad Nur al-Ambuni. Beliau
 terkenal dengan gelaran 'Pak Tuan Alim Ambon'. Menetap di Mekah dengan 
belajar sambil mengajar di sana sekitar 40 tahun lamanya.
 Banyak 
tempat yang dipelajarinya, termasuklah daripada ulama-ulama yang pernah 
mengajar Haji Wan Abdur Rahman bin Haji Abu Bakar, iaitu Imam Masjid 
Jamek Sabang Barat yang pertama yang pernah dibicarakan.
 Penulis 
berpendapat, sebelum Haji Abdur Rahman Ambon datang ke Pulau Tujuh, 
beliau pernah mengembara ke Kalimantan Barat, Indonesia. Ini kerana 
penulis menemui sebuah kitab amalannya bernama Riyadhus Shalihin di 
Kampung Sungai Bundung, Kabupaten Pontianak, Indonesia. Di bahagian 
pinggir kitab tersebut telah termaktub nama beliau.
 Berkemungkinan 
besar beliau ke Kalimantan Barat dengan seorang muridnya yang juga 
seorang ulama besar bernama Haji Muhammad Shalih dari Sarawak. Kubur 
ulama besar tersebut juga terletak di Sungai Bundung, Kalimantan Barat.
 Bahkan dikatakan Haji Abdur Rahman Ambon juga mungkin pernah ke 
Sarawak, kerana hobinya memang gemar menyebarkan Islam dengan 
mengembara. Bahkan sebelum ke Midai, beliau pernah mengajar di Pulau 
Natuna, terutama Pulau Tiga dan Sedanau.
 Haji Abdur Rahman Ambon 
dikenali sebagai seorang ulama ahli sufi dan dikatakan mempunyai 
beberapa kekeramatan. Diceritakan bahawa pernah terjadi satu kebakaran 
di Pulau Tiga yang menghabiskan kebanyakan perkebunan kelapa. Maka 
beliau terus berdiri dan berdoa, lalu secara tiba-tiba sahaja datang 
angin serta hujan lebat yang secara tidak langsung memadamkan api.
 Murid-murid Haji Abdur Rahman Ambon
  Murid-murid beliau sangat ramai, baik di Mekah, Kalimantan Barat 
mahupun Sedanau dan Pulau Tiga, Midai. Bahkan boleh dikatakan hampir 
kesemua imam Masjid Jamek Sabang Barat selepas beliau adalah muridnya. 
Mereka ialah:
 1. Haji Muhammad Shalih, yang berasal dari Sarawak 
seperti yang disebutkan. Beliau adalah ulama besar yang menyebarkan 
Islam di Kalimantan Barat dan Sarawak. Semasa di Pontianak, beliau 
berkahwin dengan ibu saudara Haji Abdur Rani Mahmud, iaitu seorang ketua
 Majlis Ulama Kalimantan Barat.
 Mengenai beliau ini pernah disentuh 
oleh penulis tentang sejarah beliau secara terperinci. Haji Muhammad 
Shalih tersebut meninggal di Kalimantan Barat dan dimakamkan di Sungai 
Bundung, Indonesia.
 2. Haji Bujang, iaitu imam Masjid Jamek Sabang Barat yang keempat.
 3. Haji Mat Tali, imam yang kelima.
 4. Haji Muhammad Mirun, imam yang keenam.
 5. Haji Muhammad Jamin, imam masjid yang ketujuh.
 6. Haji Musa, imam yang kelapan.
 Mengenai murid-murid beliau yang di tempat lainnya tidak dapat 
dinyatakan. Ini kerana hanya dapat diketahui bahawa beliau mempunyai 
ramai murid di pelbagai tempat, tetapi nama-nama mereka tidak dapat 
dikenal pasti dengan mendalam.
 Keturunan
  Haji Abdur Rahman 
Ambon mendapat seorang anak perempuan lalu dikahwinkan dengan murid dan 
anak angkatnya iaitu Haji Muhammad Mirun. Anak lelakinya juga hanya 
seorang iaitu Haji Bujang bin Haji Abdur Rahman Ambon.
 Tuan Guru 
Haji Abdur Rahman Ambon meninggal dunia di Midai, Indonesia pada 24 
Jamadilakhir 1355 H, dan dikuburkan di Perkuburan Suak Besar, berhadapan
 bekas Masjid Suak Besar.
 Sekembalinya Tuan Guru Haji Abdur Rahman 
Ambon ke rahmatullah, maka digantikan pula dengan imam yang keempat. 
Terdapat sedikit pertikaian mengenai imam yang keempat ini, disebabkan 
banyak pendapat mengenainya.
 Menurut penduduk-penduduk Midai, imam 
Masjid Jamek Midai yang keempat adalah Haji Mat Tali dan ada mengatakan 
Haji Muhammad Mirun, juga Haji Bujang.
 Pun begitu, penulis 
meletakkan Haji Bujang sebagai imam yang keempat. Ini kerana jarak masa 
Haji Abdur Rahman Ambon meninggal dunia tidak jauh dengan meninggalnya 
Haji Bujang. Haji Abdur Rahman meninggal pada 24 Jamadilakhir 1355 H, 
manakala Haji Bujang meninggal dunia pada hari Rabu, 8 Syawal 1357 H. 
  (tulisan Allahyarham Wan Mohd. Saghir Abdullah )

Tidak ada komentar:
Posting Komentar